Buah Pinggang Sihat

FB Page ‘Buah Pinggang Sihat’

Ramai yang tidak menyedari bahawa menjaga kesihatan buah pinggang adalah sangat penting dan seringkali dianggap remeh. Buah pinggang merupakan antara organ yang terpenting di dalam badan kerana ia berfungsi menyingkirkan kekotoran di dalam darah seperti toksin dan sebagainya.

Oleh itu sama-samalah kita mendapatkan segala informasi berkaitan buah pinggang seperti fungsi buah pinggang, kaedah penjagaan dan rawatan yang banyak dikongsi di Blog ini dan juga di facebook page ‘Buah Pinggang Sihat’ di bawah ini. Boleh ‘Like’ FB Page di bawah ini supaya sama-sama mendapat manfaat tentang perkongsian maklumat tentang kesihatan buah pinggang dan info-info yang berkaitan.

facebook_like_us

http://www.facebook.com/fitrahcure

Semoga perkongsian maklumat di FB Page di atas memberi sedikit sebanyak manfaat.

Asas Penjagaan Buah Pinggang

Kidney Image

Berikut adalah beberapa asas dan tips bagaimana kita boleh amalkan dalam menjaga buah pinggang kita agar kekal berfungsi dengan baik:

Perhatikan tekanan darah dan gula darah.

 Ini kerana dua punca utama penyakit buah pinggang ialah disebabkan penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi. Dari semasa ke semasa, jumlah glukosa yang berlebihan di dalam darah akan merosakkan berjuta-juta unit penapisan kecil di dalam setiap buah pinggang. Kira-kira 20 hingga 30 peratus pesakit kencing manis akan mempunyai penyakit buah pinggang(nefropati diabetis) dan jumlah ini akan terus meningkat dengan meningkatnya pesakit kencing manis. Tekanan darah tinggi pula boleh merosakkan saluran darah kecil yang terdapat di dalam buah pinggang. Saluran-saluran darah yang telah rosak tidak dapat menapis bahan buangan daripada darah seperti yang sepatutnya. Yang paling utama untuk menjaga kesihatan buah pinggang ialah dengan memastikan tekanan darah dan juga gula darah berada pada tahap sehampir normal yang mungkin. 

Amalkan pemakanan yang seimbang.

Kunci kepada diet buah pinggang yang sihat ialah dengan meningkatkan pengambilan makanan yang berasaskan tumbuhan di samping mengurangkan pengambilan makanan yang ditapis dan berminyak(goreng). Diet berasaskan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan akan membolehkan sistem badan dineutralkan melaluibuah pinggang, dapat menurunkan tekanan darah dan akan menyumbang kepada kesihatan yang baik. Sederhanakan pengambilan kacang tanah, germa gandum, bayam, kacang soya, coklat dan keledek kerana makanan begini kaya dengan kandungan oxalate yang boleh menyebabkan batu karang. 

Kurangkan juga pengambilan daging.

Diet yang mengandungi tinggi protin haiwan akan mempengaruhi pembentukan batu kalsium. Daging menghasilkan asid urik selepas ia diproses oleh badan. Urik asid merupakan masalah asas dalam pembentukan batu asid urik dan juga penyakit gout. 

Minum air.

Satu lagi aspek utama untuk kesihatan buah pinggang ialah pengambilan air yang mencukupi. Air membantu buah pinggang anda untuk mengepam keluar toksin dan menghalang kejadian batu karang dan jangkitan. Jangan meminum air dalam jumlah yang banyak sekaligus, yang sebaiknya ialah minum air dalam jumlah yang sedikit sepanjang hari. 

Elakkan dari tabiat merokok.

Jika anda seorang perokok, anda mesti cuba sedaya upaya dari sekarang untuk berhenti dari tabiat tersebut. Merokok bukan sahaja akan meningkatkan risiko penyakit buah pinggang, tetapi ia juga menyumbang kepada kematian akibat strok dan serangan jantung pada mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik. 

Kurangkan kafein.

Kafein akan bertindak sebagai deuritik yang akan menyebabkan badan kehilangan cecair berlebihan. Akibat dari proses ternyahidrat, buah pinggang anda terpaksa bekerja keras untuk mengepam cecair dan toksin yang akan mengakibatkan tekanan yang berlebihan. 

Hidup dengan lebih aktif.

Senaman fizikal merupakan elemen yang penting untukpenjagaan kesihatan buah pinggang yang optimum.Sentiasa aktif adalah baik untuk kesihatan buah pinggang dan juga untuk kesihatan anda secara menyeluruh. Walaubagaimanapun, sekiranya anda sudah mempunyai masalah buah pinggang, elakkan dari melakukan aktiviti senaman yang lasak dan berat. Melakukan aktiviti seperti berjalan laju, berjogging atau berkebun sangat baik untuk merangsang metabolisme anda.

Pemindahan atau transplan buah pinggang

living-kidney-donor-procedure-6col

Pemindahan buah pinggang adalah pembedahan memindahkan buah pinggang sihat ke pesakit buah pinggang. Buah pinggang baru ini melakukan fungsi yang tidak dapat dilakukan oleh buah pinggang anda yang telah rosak. Dialisis diperlukan sementara menunggu pemindahan dilakukan.

Rawatan ini hanya boleh dilakukan jika ada yang dapat mendermakan buah pinggang mereka kepada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang. Ada dua cara untuk menderma buah pinggang – samada selepas kematian ataupun semasa hidup.

Sumber buah pinggang adalah seperti berikut:

1. Penderma yang masih hidup

Ahli keluarga yang mempunyai padanan tisu sama yang paling hampir tetapi orang luar juga mampu menderma jika sesuai.

2. Penderma organ.

Daripada mereka yang ingin menderma organ setelah mereka meninggal.

Fakta tentang buah pinggang yang didermakan:

  • Penderma mesti seseorang yang sihat tubuh badan sepenuhnya.
  • Jenis darah pesakit dan penderma mesti berpadanan.
  • Penderma masih hidup mestilah berumur 18 tahun ke atas.

Pendermaan selepas kematian membolehkan 2 organ buah pinggang dipindahkan kepada 2 pesakit yang memerlukan. Pemindahan organ hanya dilakukan selepas kematian otak di sahkan. Penerima organ akan dipilih dari senarai menunggu di mana beberapa calon penerima yang mempunyai jenis darah yang sama dan mempunyai keserasian organ (organ matching) dengan penderma.

Pendermaan buah pinggang semasa hidup buat masa ini terhad kepada ahli keluarga yang terdekat iaitu pasangan kembar seiras, ahli keluarga darjah pertama (first degree relative) dan ahli keluarga darjah kedua (second degree relative), serta pasangan suami isteri.

Bakal penderma dan penerima juga perlu diuji keserasian sepertimana pemindahan organ selepas kematian.

Semasa pembedahan, buah pinggang baru yang sihat diletakkan di bawah otot abdomen berhampiran tulang pinggul anda. Jarang berlaku, buah pinggang yang tidak berfungsi mungkin akan dikeluarkan untuk mengawal risiko jangkitan kuman atau tekanan darah tinggi.

Kedua-dua penderma dan penerima buah pinggang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan penderma dan penerima berada di tahap paling optimum. Ini adalah penting untuk memastikan komplikasi tidak berlaku semasa pembedahan transplan.

Penerima buah pinggang juga perlu mengambil rawatan imunosupresif untuk seumur hidup untuk memastikan badan mereka tidak menolak organ itu. Jika rawatan imunosupresif ini tidak diambil, buah pinggang yang baru ini tidak dapat berfungsi sehinggakan pesakit harus kembali menjalani rawatan dialisis.

Kelebihan pemindahan buah pinggang:

  • Pilihan paling baik untuk memiliki buah pinggang sendiri
  • Rawatan dialisis tidak diperlukan
  • Kawalan pengambilan air dan diet yang minima
  • Mengekalkan rutin harian dengan lawatan klinik yang minima
  • Lebih sihat dan bertenaga
  • Berkerja sepenuh masa tanpa gangguan jadual dialisis

Perkara yang perlu diambil kira:

  • Keresahan menunggu penderma yang sesuai
  • Risiko yang mungkin berlaku selepas pembedahan
  • Risiko penolakan – buah pinggang baru tidak kekal lama
  • Pengambilan ubatan harian yang mungkin menimbulkan kesan sampingan
  • Mudah dijangkiti penyakit
  • Kemungkinan perubahan pada penampilan

Semakin hari semakin bertambah jumlah pesakit yang bergantung dialisis. Sayangnya, penderma organ buah pinggang tidak juga bertambah. Jika lebih ramai yang bersedia untuk menderma buah pinggang, pasti lebih ramai pesakit buah pinggang yang dapat diubati dan mereka tidak lagi perlu bergantung hidup pada mesin dialisis.

 

Scroll To Top