Buah Pinggang Sihat

Pemindahan atau transplan buah pinggang

living-kidney-donor-procedure-6col

Pemindahan buah pinggang adalah pembedahan memindahkan buah pinggang sihat ke pesakit buah pinggang. Buah pinggang baru ini melakukan fungsi yang tidak dapat dilakukan oleh buah pinggang anda yang telah rosak. Dialisis diperlukan sementara menunggu pemindahan dilakukan.

Rawatan ini hanya boleh dilakukan jika ada yang dapat mendermakan buah pinggang mereka kepada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang. Ada dua cara untuk menderma buah pinggang – samada selepas kematian ataupun semasa hidup.

Sumber buah pinggang adalah seperti berikut:

1. Penderma yang masih hidup

Ahli keluarga yang mempunyai padanan tisu sama yang paling hampir tetapi orang luar juga mampu menderma jika sesuai.

2. Penderma organ.

Daripada mereka yang ingin menderma organ setelah mereka meninggal.

Fakta tentang buah pinggang yang didermakan:

  • Penderma mesti seseorang yang sihat tubuh badan sepenuhnya.
  • Jenis darah pesakit dan penderma mesti berpadanan.
  • Penderma masih hidup mestilah berumur 18 tahun ke atas.

Pendermaan selepas kematian membolehkan 2 organ buah pinggang dipindahkan kepada 2 pesakit yang memerlukan. Pemindahan organ hanya dilakukan selepas kematian otak di sahkan. Penerima organ akan dipilih dari senarai menunggu di mana beberapa calon penerima yang mempunyai jenis darah yang sama dan mempunyai keserasian organ (organ matching) dengan penderma.

Pendermaan buah pinggang semasa hidup buat masa ini terhad kepada ahli keluarga yang terdekat iaitu pasangan kembar seiras, ahli keluarga darjah pertama (first degree relative) dan ahli keluarga darjah kedua (second degree relative), serta pasangan suami isteri.

Bakal penderma dan penerima juga perlu diuji keserasian sepertimana pemindahan organ selepas kematian.

Semasa pembedahan, buah pinggang baru yang sihat diletakkan di bawah otot abdomen berhampiran tulang pinggul anda. Jarang berlaku, buah pinggang yang tidak berfungsi mungkin akan dikeluarkan untuk mengawal risiko jangkitan kuman atau tekanan darah tinggi.

Kedua-dua penderma dan penerima buah pinggang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan penderma dan penerima berada di tahap paling optimum. Ini adalah penting untuk memastikan komplikasi tidak berlaku semasa pembedahan transplan.

Penerima buah pinggang juga perlu mengambil rawatan imunosupresif untuk seumur hidup untuk memastikan badan mereka tidak menolak organ itu. Jika rawatan imunosupresif ini tidak diambil, buah pinggang yang baru ini tidak dapat berfungsi sehinggakan pesakit harus kembali menjalani rawatan dialisis.

Kelebihan pemindahan buah pinggang:

  • Pilihan paling baik untuk memiliki buah pinggang sendiri
  • Rawatan dialisis tidak diperlukan
  • Kawalan pengambilan air dan diet yang minima
  • Mengekalkan rutin harian dengan lawatan klinik yang minima
  • Lebih sihat dan bertenaga
  • Berkerja sepenuh masa tanpa gangguan jadual dialisis

Perkara yang perlu diambil kira:

  • Keresahan menunggu penderma yang sesuai
  • Risiko yang mungkin berlaku selepas pembedahan
  • Risiko penolakan – buah pinggang baru tidak kekal lama
  • Pengambilan ubatan harian yang mungkin menimbulkan kesan sampingan
  • Mudah dijangkiti penyakit
  • Kemungkinan perubahan pada penampilan

Semakin hari semakin bertambah jumlah pesakit yang bergantung dialisis. Sayangnya, penderma organ buah pinggang tidak juga bertambah. Jika lebih ramai yang bersedia untuk menderma buah pinggang, pasti lebih ramai pesakit buah pinggang yang dapat diubati dan mereka tidak lagi perlu bergantung hidup pada mesin dialisis.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll To Top